Saturday, July 25, 2009

Adab pergaulan lelaki, wanita pelihara nasab umat

Persoalan agama bersama Ustaz Zahazam Mohamed

Islam sedia panduan hubungan antara bukan mahram demi menjaga kebaikan masyarakat

Saya sudah berkahwin dan tugas memerlukan saya bergaul dengan orang ramai, termasuk bukan muhrim. Saya tahu batasan antara wanita dengan lelaki seperti tidak boleh duduk berdua-duaan. Apakah adab lain yang perlu diamalkan oleh wanita dan lelaki Muslim .

Hamba Allah,
Putrajaya.


Hukum bekerja bagi perempuan adalah harus. Namun, kita perlu merujuk penjelasan syarak dalam kebenaran itu. Sayyid Qut membuat ulasan berkaitan pertemuan Nabi Musa AS dengan dua anak perempuan hamba yang salih di Madyan. Sesetengah pandangan mengatakan ia adalah Nabi Syuib AS. Lihat firman Allah dalam ayat 23 surah al-Qasas bermaksud: "Dan ketika dia sampai di telaga negeri Madyan, didapati di situ sekumpulan lelaki memberi minum (ternakan) dan di sebelah mereka dua perempuan yang menahan kambingnya. Dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" Mereka menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing) sehingga pengembala itu membawa ternakan masing-masing dan bapa kami seorang yang terlalu tua.
Musa memberi minum kepada binatang ternakan mereka, kemudian dia ke tempat teduh lalu berdoa: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang rezeki yang Engkau berikan." Kemudian seorang daripada dua beradik itu mendapatkannya dengan berjalan tersipu-sipu sambil berkata: "Bapaku menjemputmu untuk membalas budi memberi minum ternakan kami."

Kata Sayyid Qutb, syarat pertama membenarkan wanita bekerja apabila keadaan ekonomi menuntutnya. Dia terpaksa keluar mencari rezeki seperti dinyataka 'ayah kami sudah terlalu tua.'

Perkara kedua ialah jangan ada percampuran bebas antara lelaki dan perempuan. Ia dapat dilihat menerusi ayat: "Kami tidak memberi minum (kambing) sehingga pengembala itu membawa balik binatang ternakan masing-masing" dan syarat ketiga walaupun keluar. ia masih menjaga adab seorang Muslimah. Ini jelas dalam ayat: "Kemudian seorang daripada dua beradik itu mendapatkannya dengan berjalan dalam keadaan tersipu-sipu." Wanita bekerja wajib menjaga maruah agar tidak menjadi wanita murahan, mudah bergelak ketawa dengan rakan sekerja lelaki. Jangan mudah menawarkan diri berdua-duaan makan tengah hari.

Wanita beriman perlu memelihara diri daripada menjadi alat hiburan lelaki liar. Firman Allah SWT dalam ayat 31 surah an-Nur bermaksud: "Dan katakan kepada perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala; dan jangan memperlihatkan perhiasan tubuh melainkan kepada suami atau bapa atau bapa mentua atau anak mereka, atau anak tiri, atau saudara mereka, atau anak bagi saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara mereka yang perempuan, atau perempuan Islam, atau hamba mereka, atau orang gaji daripada orang lelaki yang sudah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi mengenai aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentak kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah SWT, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Merujuk soalan kedua, lazimnya masyarakat Melayu menggunakan perkataan muhrim untuk merujuk golongan haram dikahwini. Sebenarnya perkataan yang tepat ialah mahram. Muhrim dalam bahasa Arab bermaksud orang berihram. Ajnabiula ialah lelaki asing bukan mahram, contohnya jiran atau rakan sepejabat. Ajnabiyyah pula ialah perempuan bukan mahram. Inti pati larangan kepada lelaki dan perempuan ialah jangan berdua-duaan dalam suasana mencurigakan. Hadis Nabi SAW menjelaskan, tidak akan berdua-duaan seorang lelaki dengan perempuan melainkan syaitan jadi yang ketiga.

Lelaki juga diharamkan bermusafir bersama wanita bukan mahram dan menceritakan masalah peribadi kepada wanita ajnabiyyah. Imam Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmuk, maslahat memelihara hubungan ini demi kepentingan nasab. Amat benar kata ulama seperti Ibnul Qayyim iaitu pensyariatan undang-undang Islam demi keadilan dan kebaikan mutlak. Justeru, menegakkannya menyebabkan kehidupan teratur dan selamat daripada persengketaan.

Saturday, July 18, 2009

ISRAK dan Mikraj

ISRAK dan Mikraj adalah peristiwa luar biasa, melangkaui pancaindera manusia tetapi membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai langit dan bumi.

Mungkin bagi sesetengah orang, ia dianggap karut dan tidak logik atau dongeng tetapi bagi umat Islam, mereka wajib mempercayai peristiwa itu.


Malah, ulama mencapai kata sepakat, orang Islam yang meragui atau tidak mempercayainya adalah terkeluar dari Islam.

Peristiwa itu dirakamkan dalam al-Quran. "Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (al-Isra':1)

Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad s.a.w pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin, dalam tempoh singkat.

Mikraj ialah perjalanan Nabi Muhammad s.a.w naik dari alam bawah (bumi) ke alam atas (langit) sampai ke tujuh langit dan ke Sidratul Muntaha, iaitu dari Masjidil Aqsa di Palestin naik ke atas melalui beberapa lapisan, menuju Baitul Makmur dan Sidratul Muntaha, ke Arasy menerima wahyu Allah yang mengandungi perintah solat lima waktu sehari semalam.

Daripada riwayat menceritakan beberapa liku kejadian dialami baginda, tidak kurang dengan kejadian aneh bermula dari awal.

Peristiwa itu berlaku pada tanggal 27 Rejab tahun ketiga sebelum Nabi s.a.w berhijrah. Ketika itu, nabi tidur di makam Nabi Ismail a.s dekat Kaabah diapit dua saudaranya, Jaafar dan Hamzah bin Abu Talib.

Tiba-tiba, datang malaikat Jibril membawanya dan membelah dadanya. Hati baginda dibersihkan dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam, diisinya dengan iman dan hikmah, kemudian ditutup kembali dan dimeterikan dengan 'khatimin nubuwwah.'

Selesai pembedahan, didatangkan sejenis haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa (Israk) dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.

Buraq berasal daripada perkataan Barq, bererti kilat. Buraq itu ialah binatang atau kenderaan yang kecepatannya seperti kilat.

Menurut sarjana, kecepatan kilat itu sama dengan kecepatan cahaya, iaitu 300,000 kilometer setiap saat. Kecepatan Buraq sekelip mata di antara Makkah dan Palestin.

Sampai di tempat tertentu Rasulullah s.a.w diarah Jibril berhenti dan melakukan solat dua rakaat seperti di Thaibah (Madinah), tempat baginda akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul Laham (tempat Nabi Isa a.s dilahirkan).

Dalam perjalanan itu juga baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Ifrit dan menyaksikan golongan yang sedang bercucuk tanam, terus menuaikan hasil tanaman.

Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan makan daging mentah berbau busuk.

Apabila ke Hadhratul Qudus untuk bertemu Allah baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

Di langit pertama Nabi bertemu dengan Nabi Adam a.s. Baginda diperlihatkan roh syuhada di sebelah kanan Nabi Adam dan roh manusia yang rugi di sebelah kirinya.

Selepas itu, di langit kedua baginda bertemu Nabi Yahya dan Nabi Isa, di langit ketiga dipertemukan dengan Nabi Yusuf, di langit keempat bersama Nabi Idris dan di langit kelima dengan Nabi Harun, yang turut mengucapkan salam kepadanya.

Tiba di langit keenam baginda berjumpa dengan Nabi Musa a.s dan Nabi Ibrahim di langit ketujuh.

Di langit ketujuh Nabi juga diperlihatkan alam ghaib malaikat yang setiap harinya tidak kurang daripada 70,000 malaikat keluar masuk.

Kemudian, dari langit ketujuh Nabi terus dibawa ke langit yang lebih atas, iaitu Sidratul Muntaha dan ke Mustawa.

Nabi s.a.w diperlihatkan Sidrah dan gerak geri qalam dalam menulis, malah baginda juga diperlihatkan malaikat Jibril dalam bentuk yang sebenar.

Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam yang kemudian dipendekkan kepada lima waktu saja, selepas melalui permintaan berulang kali atas usul Nabi Musa.

Rasulullah kembali ke Masjidil Haram di Makkah dengan selamat dan bersyukur kepada Allah.

Antara tanda kebesaran diperlihatkan kepada baginda ialah kehebatan perjalanan itu yang hanya mengambil waktu semalaman, menggunakan kenderaan Buraq yang tidak pernah dikenali manusia.

Kehebatan perjalanan itu sukar dimengertikan akal manusia. Tetapi yang nyata itulah bukti kekuasaan Allah yang mencabar keimanan manusia untuk menerima dengan sepenuh hati.

Wednesday, July 15, 2009

Peluang menyemak arah Kiblat jam 5.28 petang 16/7/2009


APAKAH ITU ISTIWA’ MATAHARI?…..Istiwa’ utama matahari atau istiwa A’zam di Ka’bah merupakan fenomena di mana matahari akan berada tepat di titik zenit (ghayah) ketika istiwa. Peristiwa ini akan berlaku dua kali dalam setahun, apabila nilai sudut istiwa’ matahari (mel syams) akan bersamaan dengan nilai latitud Mekah, di mana Ka’bah terletak. Fenomena istiwa berlaku setiap hari di meridian tempatan tetapi hanya dua kali setahun berlaku di titik zenit, dan hanya bagi negeri/negara yang latitudnya antara 23.5° Utara dan 23.5° Selatan (antara garisan Sartan dan Jadi).
Firman Allah dalah Surah Ar Rahman ( ayat 17)

Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyatakan bahawa dua timur dan dua barat dalam ayat tersebut adalah merujuk terbit dan terbenam matahari pada dua musim berbeza, musim panas dan musim sejuk. Ia secara jelas menunjukkan bahawa matahari terbit dan terbenam pada tempat yang berbeza setiap hari. Berdasarkan maksud ayat di atas juga, jelas bahawa fenomena istiwa (rembang, tengahari, transit, noon) tidak sentiasa berlaku di titik ghayah (puncak kepala, zenith) sebaliknya berubah setiap hari pada garis tengahari (meridian tempatan, local meridian). Istiwa di titik ghayah (istiwa utama, a’adzam) hanya berlaku dua kali setahun.
Malaysia, istiwa mataharinya awal 5 jam sebelum istiwa di Mekah. Justeru, ketika istiwa utama di Mekah/Kaabah, waktu Malaysia adalah 5.16 petang pada 28 Mei, dan 5.28 petang pada 16 Julai, setiap tahun. Pada tahun lompat, tarikhnya adalah pada 27 Mei dan 15 Julai. Namun penggunaan bayang matahari sebagai rujukan arah menyebabkan perbezaan arah pada dua tarikh tersebut adalah kecil.

Tarikh & Masa:-
28 Mei 2009 ( 5.16 Petang )
16 Julai 2009 ( 5.28 Petang )


Apabila istiwa’ utama matahari berlaku, bayang objek tegak di tempat lain akan menunujukkan arah ke Ka’bah. Fenomena ini merupakan kaedah tradisional falak untuk menyemak dan menentukan arah kiblat dari tempat-tempat lain di muka bumi.


Detik istiwa utama ini membolehkan negeri/negara yang dapat melihat matahari ketika itu, menggunakannya sebagai panduan terbaik menentukan arah kiblat masing-masing.

Bagi Malaysia, detik tersebut adalah pada jam 5.16 petang setiap 28 Mei, dan 5.28 petang setiap 16 Julai. Untuk tahun lompat, tarikhnya diawalkan satu hari. Namun tarikh dan masa tersebut tidak memberikan kesan besar sekiranya penentuan dilakukan melalui kaedah petunjuk bayang matahari.
PANDUAN MEMBUAT SEMAKAN ARAH KIBLAT :
Kaedah 1

Kaedah 2


-http://muttaqim.blogspot.com

Sunday, July 12, 2009

Peserta asing puji Malaysia aman


Sebahagian daripada 200,000 jemaah tabligh dari seluruh dunia beredar meninggalkan tempat perkhemahan Ijtimak Dakwah Tabligh Sedunia di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan setelah perhimpunan itu berakhir semalam. Mereka gembira berada di negara ini kerana dapat menunaikan ibadat tanpa sekatan. – Utusan/MD.SHAHJEHAN MAAMIN

--------------------------------------------------------------------------------
NILAI 12 Julai – Rakyat asing yang menyertai Perhimpunan Dakwah Tabligh Sedunia atau Ijtimak 2009 yang berakhir hari ini gembira dan bersyukur perhimpunan itu berlangsung dengan jayanya.

Rata-rata mereka yang ditemui memuji keadaan negara yang aman, sekali gus membolehkan amal ibadat disempurnakan dalam suasana selesa dan tenang di sini.

Salah seorang jemaah yang ditemui, Mohamad Ibrahim, 60, dari Hebron, Palestin, gembira berada di negara yang aman damai dan dapat menunaikan amal ibadat tanpa ada sekatan.

“Saya gembira berada di sini, kami dapat menemui rakan-rakan daripada pelbagai negara bagi mengikuti program ijtimak.

“Saya berdoa agar Allah SWT memberi rahmat kepada negara ini agar sentiasa aman dan dilindungi setiap masa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Ghani Naghorghani, 47, dari Myanmar juga gembira berada di negara yang membangun dan aman dengan rakyat pelbagai kaum.

‘‘Pembangunan di negara ini cukup membanggakan, walaupun terdapat perbezaan kaum ia tidak menghalang kami untuk melakukan aktiviti seperti ini.

“Saya berharap perhimpunan seperti ini yang diadakan setiap enam bulan dapat diadakan di negara ini lagi pada masa akan datang,” katanya.

Bagi Abdul Halim Thabit, 50, dari China pula, percaya kebebasan beragama di negara ini membolehkan rakyatnya menjalankan aktiviti keagamaan tanpa halangan.

“Ini merupakan negara terbaik yang pernah saya kunjungi kerana walaupun terdapat pelbagai kaum di sini, tidak ada halangan bagi umat Islam untuk melaksanakan tuntutan agama,” katanya.

Terdahulu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berangkat menyertai ijtimak tersebut.

Ketibaan baginda di lokasi ijtimak berhampiran kuarters kakitangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak.

Turut menyambut baginda ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Baginda kemudiannya menyertai solat Zuhur bersama-sama lebih 200,000 jemaah tabligh dan mendengar tazkirah sebelum berangkat pulang.

Ijtimak yang menghimpunkan jemaah dari dalam dan luar negara itu kali kedua diadakan di negara ini selepas 27 tahun lalu.

Kali pertama ia diadakan di Terengganu dengan kehadiran lebih 50,000 orang


oleh :FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Friday, July 10, 2009

Meninggal ketika baca khutbah

BUKIT MERTAJAM: Jemaah Masjid Lebai Hashim, Bukit Minyak, dekat sini yang mulanya khusyuk mendengar khutbah Jumaat dibacakan Basiri Jamaduin, 79, tiba-tiba tersentak apabila khatib itu jatuh terduduk sebelum menghembuskan nafas terakhir dipercayai akibat serangan jantung, semalam.

Sebelum itu, imam berkenaan baru memulakan khutbah kira-kira jam 1.30 tengah hari apabila beliau tiba-tiba jatuh terduduk sambil memegang tongkat tetapi sempat dipapah jemaah masjid yang menyedari kejadian itu.

Jemaah masjid, Nazri Ahmad, 39, berkata dia berada depan mimbar ketika itu dan melihat Basiri menarik nafas panjang sebelum jatuh, manakala wajahnya bertukar pucat.

Jemaah masjid segera menghubungi ambulans untuk menghantar Basiri ke hospital, namun beliau disahkan sudah meninggal dunia.

“Hari ini adalah sejarah bagi jemaah masjid kerana menyaksikan sendiri proses pertukaran imam ketika khutbah dan ia sesuatu yang jarang berlaku. Hari ini kami belajar sesuatu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Kebetulan ketika kejadian, imam kedua, Salleh Othman, 61, berada berhampiran lalu mengambil alih tugas membaca khutbah mengenai aurat wanita, diikuti khutbah kedua hingga selesai dan seterusnya menunaikan solat Jumaat.

Menurut Salleh, kali terakhir dia bersama Basiri pada minggu lalu tetapi arwah yang menjadi imam sejak 20 tahun lalu tidak meninggalkan sebarang pesan berhubung tugas membaca khutbah di masjid berkenaan.

“Cuma arwah berkata dia mungkin sudah tidak lama di dunia ini dan itu mungkin petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.

Salleh berkata, jarak masa dia mengambil alih tugas membaca khutbah Jumaat selepas arwah jatuh sekitar lima minit dan tempoh itu tidak menjejaskan kefarduan solat Jumaat.

Sementara itu, anak Basiri, Azman, 44, berkata bapanya memang menghidap penyakit jantung serta darah tinggi tetapi tidak duduk diam dan sering membuat kerja keagamaan selain kerja kampung.

“Sebelum ini dia sudah beberapa kali jatuh di rumah akibat diserang penyakit jantung. Hari ini (semalam) dia dalam keadaan sihat sebelum ke masjid tapi mungkin sudah tiba ajalnya,” katanya yang reda dengan pemergian bapanya.

Jenazah Basiri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Minyak jam 9 malam tadi

Oleh Zulfa Mohamad
zulfa@hmetro.com.my