Wednesday, January 29, 2014

Selawat hilangkan kemunafikan Oleh HASHIM AHMAD RASULULLAH SAW ialah manusia utama yang dimuliakan Allah SWT. Budi pekerti baginda amat luhur dan terpuji. Ini amat sesuai dengan namanya Muhammad yang bererti insan terpuji. Anas bin Malik pada suatu hari telah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Alangkah rindunya aku untuk berjumpa dengan saudara-saudaraku." Seorang sahabat bertanya: "Bukankah kami ini saudara mu, ya Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Benar, kalian adalah sahabat dan saudaraku. Tetapi apa yang aku maksudkan dengan saudara-saudaraku adalah kaum yang datang sesudahku dan beriman kepadaku, padahal mereka tidak pernah berjumpa denganku." Maksud hadis di atas ialah Rasulullah SAW begitu rindu pada kita (umatnya) yang hidup jauh dari masanya. Rindunya merupakan satu penghargaan untuk kita kerana sampai saat ini kita masih beriman padanya walaupun kita tidak pernah sekalipun berjumpa secara langsung dengan baginda Rasulullah SAW. Baginda juga sangat peduli pada umatnya. Pada detik-detik terakhir roh kekasih Allah SWT ini akan lepas daripada raga, lisannya berucap: "Ummati, ummati, ummati" (Umatku, umatku). Baginda masih sempat berfikir akan keadaan umatnya selepas kewafatan Rasulullah SAW. Peristiwa itu adalah sebuah pemandangan di luar kebiasaan manusia umum, Malah amat mengharukan dalam sejarah hidup kita. Ketika dalam keadaan sakaratul maut, di saat badan mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak, bibirnya sentiasa basah menyebut asma-Nya. Di saat itu, terucap sebuah permohonan yang amat memilukan hati: "Ya...Allah, dahsyatnya maut ini. Timpakan saja semua maut ini kepadaku, jangan pada umat-ku." Sungguh terpuji sekali akhlak Rasulullah SAW. Hubungan kita Cuba kita bermuhasabah dan bertanyakan diri, bagaimana hubungan kita dengan Rasulullah di saat ini? Sepatutnya, kita pun merasa rindu dan berterima kasih kepada baginda dengan memperbanyakkan berselawat dan selalu berusaha menjalankan sunnah-sunnah Rasulullah SAW. Bayangkan keadaan kita saat ini tanpa Rasulullah hadir di dunia ini. Pasti kita akan hidup dalam kegelapan, tidak jelas arah tujuan hidup dan akhlak kita pun akan jauh daripada nilai-nilai yang mulia. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Manusia yang paling mengabaikan aku, adalah orang yang apabila disebut namaku di hadapannya, dia tidak berselawat kepadaku. Selawat kepadaku dan kepada keluargaku menghilangkan kemunafikan." Sesungguhnya, banyak berselawat kepada Nabi SAW akan mendatangkan syafaat di akhir. Syafaat adalah pertolongan. Syafaat Rasulullah SAW dapat membantu di kala amal baik kita kurang kerana kita tidak memenuhi syarat untuk masuk ke syurga. Kita akan beruntung kerana syafaat boleh menghindar kita daripada bakaran api neraka yang amat panas itu. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140128/ba_05/Selawat-hilangkan-kemunafikan#ixzz2rn7PJcIU © Utusan Melayu (M) Bhd

Friday, January 17, 2014

Sangat mengharukan, seorang hakim bernama Marzuki di Mahkamah Indonesia berasa sebak dengan penerangan pesalah seorang nenek tua yang mengaku salah mencuri ubi kayu. Di ruang mahkamah pengadilan, seorang hakim duduk termenung menyemak pertuduhan kepada seorang nenek yang dituduh mencuri ubi kayu. Nenek itu merayu bahawa hidupnya miskin, anak lelakinya sakit, dan cucunya kelaparan. Namun pengurus ladang tuan punya ladang ubi tersebut tetap dengan tuntutannya supaya menjadi iktibar kepada orang lain. Hakim menghela nafas dan berkata, “Maafkan saya, bu”, katanya sambil memandang nenek itu. ”Saya tidak dapat membuat pengecualian undang-undang, undang-undang tetap undang-undang, jadi anda harus dihukum. Saya mendenda anda Rp 1 juta (lebih kurang RM350) dan jika anda tidak mampu bayar maka anda harus masuk penjara 2.5 tahun, seperti tuntutan undang-undang”. Nenek itu tertunduk lesu. Namun tiba-tiba hakim menbuka topi hakimnya, membuka dompetnya kemudian mengambil & memasukkan wang Rp 1 juta ke topinya serta berkata kepada hadirin yang berada di ruang mahkamah. ‘Saya atas nama pengadilan, juga menjatuhkan denda kepada setiap orang yang hadir di ruang mahkamah ini, sebesar Rp 50 ribu (lebih kurang RM17), kerana menetap di bandar ini, dan membiarkan seseorang kelaparan sehingga terpaksa mencuri untuk memberi makan cucunya. “Saudara pendaftar, tolong kumpulkan denda dalam topi saya ini lalu berikan semuanya kepada yang tertuduh” sebelum tukul diketuk nenek itu telah mendapatkan sumbangan wang sebanyak Rp 3.5 juta dan sebahagian telah dibayar kepada mahkamah untuk membayar dendanya, setelah itu dia pulang dengan wajah gembira dan terharu dengan membawa baki wang termasuk wang Rp 50 ribu yang dibayar oleh pengurus ladang yang mendakwanya. Kisah ini sungguh menarik dan boleh di share untuk menjadi contoh kepada penegak undang-undang di Malaysia agar bekerja menggunakan hati nurani dan mencontohi hakim Marzuki yang berhati mulia ini.