Imam Ghazali menyatakan; bahawa doa kebanyakan para nabi a.s., ialah berdoa seperti berikut (yang bermaksud):
“Ya Allah Tuhanku, aku minta ampun kepada-Mu daripada sebarang dosa yang aku telah bertaubat, tapi setelah itu aku lakukan semula. Aku minta ampun daripada semua yang telah aku janji dalam hati kepada-Mu tetapi tidak aku laksanakan.
“Aku bertaubat daripada dosa waktu aku ibadat untuk-Mu, tetapi tiba-tiba mencelah sesuatu menyebabkan ibadah berubah kepada kerana yang lain daripada-Mu.
“Aku mohon ampun kepada-Mu kerana nikmat yang Engkau kurniakan itu sepatutnya untuk mentaati-Mu, sebaliknya telah aku gunakannya untuk ingkar suruhan-Mu.
“Wahai Tuhan yang Maha Mengetahui sama ada yang zahir atau yang terselindung, aku minta ampun daripada sebarang dosa yang aku lakukan pada siang hari atau pada malam gelap di tempat tersembunyi, ketika beramai atau ketika seorang diri, ampunilah daku wahai Tuhan yang Maha Lemah Lembut.”
Demikian doa dan istighfar para nabi sejak daripada Nabi Adam a.s. hingga ke Nabi Muhammad s.a..w., telah dinukilkan oleh Imam Ghazali yang dimuatkan dalam kitabnya untuk mendapat perhatian dan menjadi amalan umat akhir zaman, yang persoalannya sangat penting dan bernilai tinggi.
Kita akan membincangkan mengenai adab tidur. Meskipun tidur itu sebagai perkara tabiei kebiasaan bagi manusia, sebagaimana makan minum dan naluri lain seumpamanya, semua tuntutan naluri tabiei dan segala gerak-geri itu, boleh dijadikan sumber pahala untuk bekalan ahirat.
Tidur merupakan kesinambungan daripada sifat mengantuk. Sesungguhnya sifat mengantuk itu bukan sesuatu yang dicari atau diusahakan, tetapi ia terjadi setelah tubuh letih akibat aktiviti kerja sepanjang hari.
Islam mengajar manusia sama ada perkara yang diikhtiar atau tidak jika seseorang itu tahu, ia akan jadi bekalan hidup di akhirat.
Tidur setelah didahului rasa mengantuk kurniaan Tuhan, akan menjadikan tubuh rehat dan cergas segar semula. Di akhirat ada habuan bagi manusia itu.
Justeru Islam mengajar peraturan dan adab tidur, supaya tidur menjadi suatu ibadah yang berfaedah kepada manusia di dunia dan akhirat.
Peraturan dan adab yang pertama, ialah bersihkan mulut dengan bersugi (gosok gigi) dan bersuci serta berwuduk.
Islam bukan saja suruh berwuduk ketika hendak menunaikan solat atau membaca al-Quran, bahkan Islam anjurkan berwuduk itu mengajar manusia agar tidur dalam keadaan beribadat kepada Allah SWT.
Seseorang yang berwuduk andainya meninggal dunia semasa tidur, maka matinya dalam keadaan suci bersih. Tiada yang boleh beri jaminan bahawa selepas tidur dia akan bernafas semula untuk meneruskan hidupnya.
Oleh itu apabila seseorang hendak tidur dia hendaklah bersiap, kerana dia sendiripun tidak tahu masih adakah baki umurnya selepas tidur.
Setelah bersugi dan berwuduk mereka dikehendaki bersiap menyediakan air (khusus di tempat yang sukar air) untuk bersugi dan berwuduk selepas bangun pagi esoknya.
Jika dia dikurniakan umur lagi, persiapan itu untuk mengulangi keperluan bersugi dan berwuduk sebagai sunnah Nabi s.a.w.
Sebelum meletakkan kepala atas bantal untuk tidur, hendaklah dia menaruh azam dalam hati dengan niat untuk bangun menunaikan ibadat solat tahajud dan witir juga ibadah selainnya.
Kalau tidur berniat begini akan dipermudah oleh Allah SWT untuk bangun pada hujung malam. Ini kerana tidur dengan hasrat untuk melakukan ibadah sebagaimana kelazimannya, tidurnya tidaklah tidur mati tetapi sentiasa teringat-ingat akan niatnya.
Adab tidur seterusnya ialah bagi mereka yang sepatutnya ada wasiat lantaran berhutang, maka kewajiban mereka ialah menyediakan surat wasiat.
Kewajiban orang berhutang ialah berwasiat kepada keluarganya, supaya tanggungjawab itu dipikul keluarganya jika dia meninggal dunia.
Jika orang yang berhutang itu mati menyebabkan rohnya terseksa, tidak dapat ke mana-mana dan tidak dapat menikmati fadilat syahid. Hutang yang belum dilunaskan jadi penghalang menikmati segala fadilat itu.
Orang yang mempunyai keyakinan mengenai bahaya hutang yang belum dijelaskan, wajib baginya berwasiat kerana seseorang itu tidak selamat daripada diambil nyawanya oleh Tuhan semasa tidur.
Hendaklah sedar bahawa seseorang ketika tidur mempunyai peluang lebih luas untuk mati, berbanding peluang untuk terus hidup.
Ini kerana apabila seseorang tidur rohnya akan beredar meninggalkan jasad, meskipun jantung dan nadi bergerak darah terus mengalir dan nafas keluar masuk.
Hal tersebut terserah sepenuhnya kepada kudrat Allah SWT. Justeru dalam keadaan tidak sedar kerana roh naik ke atas seperti benar-benar telah mati.
Adab seterusnya apabila bersiap untuk tidur, seseorang itu bertaubat daripada semua dosa, dan tidur dalam keadaan hati suci bersih dengan semua orang Islam. Tiada hasrat di hati hendak menganiaya orang apabila terjaga esok.
Dengan adab itu dunia akan aman daripada segala kemungkaran dan penyelewengan juga keburukan. Jika seseorang tidak menghormati janji sendiri yang dibuat sebelum tidur, lalu bagaimanakah orang lain akan menghormati dirinya.
Wednesday, May 20, 2009
Saturday, May 16, 2009
KESIHATAN
Bahaya bekas plastik biasa
Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
bijak memilih bekas plastik yang ingin digunakan, bakal memberi keuntungan kepada kesihatan.
--------------------------------------------------------------------------------
WANITA memang terdedah dengan pelbagai penyakit, hinggakan jika meminum air dari botol plastik sekalipun boleh menjadi punca kanser payu dara.
Kenyataan ini bukan sengaja diada-adakan tetapi hakikat yang diakui oleh selebriti antarabangsa, Sheryl Crow. Dia mengakui salah satu punca dia mengalami kanser payu dara ialah tabiatnya meminum air mineral yang diletakkan di dalam keretanya. Crow mengatakan demikian ketika tampil dalam satu rancangan bual bicara, Ellen Show tidak lama dahulu.
Pakar perubatan juga bersepakat menyatakan bahawa hawa panas yang memanaskan bahan plastik di dalam botol memiliki bahan kimia tertentu yang dapat menyebabkan kanser payu dara.
Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Profesor Madya Rahmat Awang dari Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia tidak lama dahulu mendapati bahan kimia yang terdapat dari plastik mempunyai kemudaratan.
Beliau berkata, ramai tidak menyedari bahaya plastik serta komponen-komponen kimia yang terkandung di dalamnya.
Walaupun banyak maklumat disebarkan oleh pihak berwajib mengenai kesan kimia yang hadir akibat tindak balas makanan di dalam bahan pembungkusan namun penggunaannya masih berleluasa.
Kebenaran itu memang tidak boleh disangkal, malah penulis juga seringkali membeli makanan di dalam bungkusan plastik. Malah untuk menyimpan makanan di dalam peti sejuk atau bekalan pasti bekas plastik menjadi pilihan.
Sebenarnya banyak alternatif yang boleh kita gunakan selain penggunaan botol atau bekas plastik biasa untuk tujuan menyimpan makanan atau minuman.
Kini telah banyak inovasi plastik. Cuma pengguna perlu bijak memilih bekas yang boleh menghindarkan perkara itu daripada berlaku.
Di atas kesedaran bahawa bekas plastik membahayakan kesihatan, pemilik premis jualan Tupperware, Sahliah Kasmani mengambil inisiatif mengadakan ceramah mengenai bahaya plastik.
"Plastik seperti yang umum ketahui diperbuat daripada pelbagai bahan kimia. Jika kita meletakkan makanan di dalam bekas plastik ini secara tidak langsung akan memberi mudarat apabila dimakan makanan tersebut.
"Bagaimanapun, kesan agak berlainan sekiranya pengguna menggunakan produk keluaran Tupperware.
"Ini kerana Tupperware diperbuat daripada bahan berkualiti yang tidak mengandung racun. Ia selamat digunakan sebagai bekas untuk menyediakan, menghidang dan menyimpan makanan.
"Ia juga memang dikenali sebagai tempat menyimpan makanan untuk tahan lebih lama," ujarnya ketika ditemui dalam majlis pelancaran premis jualan Tupperware di Aman Suria, Kelana Jaya, baru-baru ini.
Sementara itu, pengurus komunikasi pemasaran Tupperware Brands Malaysia, Wong Ee Ling berkata, manusia dan penggunaan plastik memang tidak dapat dipisahkan.
"Sebagai pengguna, kita perlu mengenalpasti tentang jenis plastik yang kita gunakan. Jika arahan kepada plastik tersebut hanya untuk digunakan sekali, maka janganlah kita menggunakannya berkali-kali. Sebab apabila kita tidak mematuhi arahan, sudah tentu ia akan mendatangkan mudarat kepada diri," ujar beliau ketika dihubungi baru-baru ini.
Mengambil contoh bekas minuman, Ee Ling memberitahu, bekas air Tupperware memang telah disahkan oleh badan kesihatan sedunia boleh digunakan berkali-kali, tidak kira dalam suhu panas atau sejuk.
"Walaupun begitu, tidak semua produk Tupperware boleh digunakan dalam ketuhar gelombang. Ini kerana ada bahan kimia yang tidak sesuai dikeluarkan dari bekas yang melalui proses pemanasan gelombang. Untuk penggunaan bekas plastik dalam ketuhar, disarankan menggunakan bekas yang dikhaskan untuk ketuhar gelombang sahaja.
"Terdapat juga pengeluar bekas plastik yang mendakwa bekas plastik mereka selamat, namun tidak sesuai digunakan digunakan di dalam ketuhar, oleh itu pengguna harus berhati-hati dan mendapatkan ilmu serta informasi yang betul tentang penggunaan bekas plastik ini," ujarnya.
Pada majlis tersebut, Sahliah yang telah hampir 20 tahun melibatkan diri dalam perniagaan jualan langsung Tupperware turut mengalu-alukan individu yang ingin mendaftar menjadi ahli dan sekali gus menjadi pengedar.
"Inilah peluang keemasan bagi mereka yang ingin memasuki di alam perniagaan dan sesuai sekali untuk golongan yang telah diberhentikan kerja atau tiada pekerjaan,'' katanya yang mendapat sokongan penuh daripada suami, Abdul Wahid Manan.
Menurutnya, dengan hanya mendaftar sebanyak RM290, ahli akan mendapat kit produk dan boleh menganjurkan parti Tupperware di rumah dengan tunjuk ajar dari pengarah dan ketua organisasi teratas.
"Apa yang penting ialah minat dan semangat, kerana tidak mustahil bagi kita untuk memperolehi jualan sebanyak empat angka sebulan jika kita pandai membina rangkaian dan jualan," ujarnya
Saturday, April 11, 2009
Friday, March 20, 2009
HIDAYAH ALLAH
Susunan ZUARIDA MOHYIN
Ibadat solat menarik minat Melissa Perez kepada Islam.
--------------------------------------------------------------------------------
BERBICARA soal agama, wanita kelahiran Filipina, Melissa Perez, selama ini hanya mengetahui bahawa di dunia ini, cuma satu agama sahaja yang wujud, iaitu agama Kristian.
Tidak seorang pun daripada ahli keluarganya tahu tentang kewujudan agama Islam. Sebabnya mereka tidak pernah terdedah, apa lagi diajarkan mengenai agama tersebut.
Malah akui Melissa, agama-agama lain tidak sehebat atau setanding dengan agama anutan yang diwarisi sejak turun temurun itu. Baginya, orang Islam itu adalah pembunuh kerana mereka sanggup menyembelih orang yang di sekeliling mereka apabila mereka marah. Itulah yang difahami Melissa menerusi cerita-cerita yang disampaikan oleh ibunya.
Ditambah pula, di tempat dia dibesarkan, jarang kelihatan orang Islam bergaul dengan orang Kristian. Malah kebiasaannya orang Kristian tidak ada yang berjiran mahupun berkawan dengan orang Islam.
Boleh dikatakan tidak wujud satu hubungan di antara dua agama ini, sebab itulah masing-masing mempunyai komuniti mereka tersendiri. Sehingga kini pun, kata Melissa, orang Islam asyik berperang dan bertelagah dengan kerajaan Filipina mendesak agar diberikan satu wilayah yang merdeka untuk mereka mentadbirnya sendiri.
Melissa dilahirkan dalam keluarga yang kuat kepatuhan dan pengamal setia tradisi Katholik. Hakikatnya keseluruhan keluarganya sejak generasi ke generasi malah jiran dan sahabatnya adalah mereka yang seagama.
Sungguhpun mereka percaya dengan satu tuhan, tetapi 'Tuhan Yang Satu' itu ada ketikanya dipanggil Nabi Isa dan pada masa yang lain juga di panggil Bapa. Ia agak mengelirukan Melissa.
Sedari muda, Melissa sudah belajar hidup berdikari. Kehidupannya pada masa itu, amat perit dan penuh pancaroba. Ditambah dengan perceraian ibu bapanya, Melissa dan ibu terpaksa menumpang di rumah saudara mara.
Keperitan hidup itulah menjadikan Melissa seorang gadis yang tabah sehinggakan pada usianya 18 tahun dia bersama ibunya sanggup bekerja di luar negara dengan matlamat memiliki rumah sendiri di Filipina, suatu hari nanti. Berkat usaha dan tidak kenal putus asa, akhirnya, pada usia 23 tahun impian dua beranak ini tercapai jua.
Menceritakan pengalaman bergelar perantau, Melissa mengakui sejak mencari rezeki di negara orang, dia mula terdedah dengan pelbagai budaya, tradisi, kepercayaan dan perbezaan cara hidup serta membina kenalan baru. Semuanya ternyata jauh berbeza dengan cara bagaimana dia dibesarkan.
Ketika di negeri orang inilah Melissa menjalani kehidupan yang serba bebas sehingga membawa kepada perlakuan maksiat dan melakukan dosa.
Pun begitu, pada usia 29 tahun, Melissa berhasrat memulakan hidup berkeluarga. Perkenalan dengan seorang lelaki dari Mesir menerusi Internet telah membina bibit-bibit cinta antara mereka.
Berborak menerusi laman sembang hanya berlarutan selama dua bulan sebelum Melissa mengambil keputusan terbang ke Mesir untuk bertemu dengan jejaka yang mencuri hatinya itu. Kalau sudah jodoh, tidak ke mana. Melissa akhirnya menerima lamaran si jejaka.
Pada peringkat awal perkahwinan, dia agak bingung dengan ikatan kerana berbeza agama. Bagaimana harus dihadapi situasi ini?
"Namun apabila diyakinkan bahawa mereka boleh bersatu, saya terima pandangan suami. Bagaimanakah reaksi keluarga? Sekali lagi saya di dalam dilema, apa lagi bila mereka mengetahui yang saya berkahwin dengan pemuda Islam yang baru dikenali dua bulan.
"Saya ini jenis yang tidak akan berpatah balik apabila sudah membuat keputusan. Jadi, walau apa yang menghalang, saya tetap dengan keputusan yang dibuat. Saya percaya tuhan sentiasa bersama saya kerana selama ini kepada-Nya saya berserah.
"Saya berkahwin di Mesir dan kemudian kami berpindah ke Hong Kong untuk memulakan kehidupan baru. Pada awal penghijrahan, suami mengalami kejutan budaya memandangkan itulah pengalaman pertama keluar dari tanah kelahiran," kongsi Melissa di laman web IslamOnline.net.
Oleh kerana sudah terbiasa menghadirkan diri ke gereja pada setiap Ahad, Melissa pernah mengajak suaminya ikut serta. Suaminya tidak keberatan malah pernah juga membantunya dengan aktiviti gereja.
Pernah suatu ketika, suami Melissa memberitahu yang dia hendak kembali mempraktikkan agama Islam yang selama ini menjadi pegangan dan kepercayaannya. Dia mula belajar dan mempraktikkan ajaran Islam. Dia mula sembahyang dan berpuasa.
Itulah pertama kali dalam hidupnya Melissa memerhatikan cara umat Islam mengagungkan tuhan mereka. Pada masa yang sama, suaminya mula mengikuti kelas-kelas pengajian Islam, memperbanyakan membaca berkaitan Islam dan ilmu yang diperoleh itu dipanjangkan kepada Melissa.
"Pada awalnya saya meluat mendengarnya kerana saya lebih agungkan Nabi Isa. Namun apabila saya mengetahui bahawa orang Islam juga mencintai Nabi Isa, saya mula belajar tentang Islam dan seterusnya memperoleh banyak maklumat mengenai ajaran Islam.
"Apa yang begitu menyentuh saya ialah melihat umat Islam solat terutamanya ketika sujud. Ia bagaikan menyedarkan saya bahawa itulah cara yang betul menunjukkan ketaatan kepada Allah iaitu dengan rukuk dan sujud. Itulah sewajarnya hak Allah.
"Saya teringin melakukan solat sedemikian rupa tetapi masih tidak yakin untuk bertukar kepada agama Islam. Ketika kami pulang ke Filipina, saya ada ajukan pertanyaan kepada suami bolehkah dia bersolat bersama tanpa perlu menjadi Muslim?," katanya lagi.
Solat
Akui Melissa, setelah beberapa kali solat cara orang Islam, dia menyukainya cuma agak keberatan apabila mengetahui ia wajib dilaksanakan lima kali sehari selain melaksanakan amalan wajib yang lain. Bab bertudung juga menjadi satu hal yang membebankan Melissa. Apa lagi, dia tidak mengetahui langsung siapakah pula gerangannya Nabi Muhammad itu.
Melissa diberitahu oleh suaminya bahawa dia boleh belajar secara perlahan-lahan. Tidak perlu memaksa diri mempelajari semuanya dalam tempoh sehari semalam. Malah dia juga tidak bertudung selagi belum bersedia serta mengetahui hikmah di sebaliknya.
Walaupun suami Melissa tidak mendesaknya agar segera bersyahadah, namun dia sentiasa berpesan kepadanya jangan melengah-lengahkan perkara yang baik kerana kita tidak tahu bila nyawa diambil Tuhan.
"Pada suatu hari saya mendegar ceramah agama bertajuk 'Matlamat Kehidupan' oleh Sheikh Khalid Yasin. Satu persoalan yang dikemukakan penceramah iaitu mengapa kita tidak boleh mengakui Allah dan Muhammad adalah pesuruh-Nya. Adakah kita angkuh atau bongkak?" kata Melissa.
Sebaik mendengar ungkapan di atas, hati Melissa terbuka untuk bergelar Muslim dan tidak mahu dianggap seorang yang bersifat bongkak. Akhirnya, selepas tamat mendengar rakaman ceramah itu, Melissa mengucap dua kalimah syahadah.
Pembelajaran Melissa mengenai Islam berterusan sehingga sekarang. Hakikatnya, tidak ada penghujung dalam kita menuntut ilmu. Bak kata pepatah Arab, "Carilah ilmu dari dalam buaian hinggalah ke liang lahat".
Membaca buku
Sebaik diri bergelar Muslim, Melissa ada membaca buku karangan Abdul Malik LeBlanc berjudul, The Bible Led Me To Islam. Buku itu memberinya inspirasi dan membuka minda bahawa Allah itu Esa dan Nabi Isa itu adalah salah seorang rasul Allah.
Malah buku kecil yang berjudul The Gift of Muhammad, sentiasa menjadi ilham dan penunjuk untuk mengenali Baginda SAW. Sepotong kata-kata Baginda yang berbunyi Jika engkau datang kepadaku berjalan, aku akan datang kepadanya berlari. (riwayat Bukhari) Menakjubkan bukan?
Bila menyentuh kewajipan menutup aurat terutamanya dalam pemakaian tudung, Melissa mengakui ia bukanlah mudah, lebih-lebih lagi setelah 30 tahun selesa dengan pakaian moden dan mengikut trend. Paling merisaukan Melissa ialah tanggapan dan pandangan kenalan apabila perubahannya berpakaian.
Namun, apabila menyoal kembali Allah atau orang? Jawapannya tentu Allah. Sejak itu dia tekad bertudung bukan kerana sesiapa tetapi kerana Allah yang telah mengkabulkan segala yang saya pohon selama ini.
Alhamdulillah, beberapa bulan selepas melafazkan syahadah, kurniaan Allah tidak putus-putus apabila dapat berpeluang mengerjakan haji di Mekah. Berada di sana mengukuhkan lagi kepercayaannya kepada Allah dan Melissa tahu bahawa dia berada di landasan yang betul serta diredai Allah.
"Tidak ada perkataan yang mampu menggambarkan kegembiraan di hati ini. Malah sebaik melangkahkan kaki ke masjid suci, Masjidil Haram dan menyaksikan Kaabah, air mata kegembiraan mengalir laju. Saya berasa cukup tenang saat itu.
"Hari demi hari, kehidupan saya terus berubah kepada lebih baik. Akhirnya saya temui ketenangan yang dicari selama ini," jelasnya.
Saturday, March 14, 2009
Friday, March 13, 2009
MISKIN BOLEH BERJAYA

INILAH RUMAH SAYA
Nik Nur Madihah bersama ibu bapanya Nik Mohd. Kamal Hussien dan Mariani Omar di rumah mereka di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, semalam. – UTUSAN/Hafiz Johari
Hidup tanpa peralatan canggih dan kemudahan sempurna bukan penghalang untuk seseorang menempa kejayaan. Malah kesukaran dan kekurangan itulah yang menjadi pendorong kepada usaha untuk mengubah nasib ke tahap lebih baik sambil membahagiakan ibu bapa.
Siapa sangka rumah yang kelihatan hampir roboh ini menyimpan sebutir permata berharga yang bakal menyinar suatu hari nanti.
Bahkan tidak seorang juga yang terfikir bahawa permata yang berlindung di rumah ini telah mencipta sejarah dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin. Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, mencatat keputusan cemerlang 19 A1 dan satu A2.
Kejayaan pelajar dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, Kelantan ini agak istimewa kerana dia adalah anak seorang nelayan berbanding pelajar cemerlang SPM sebelum ini yang datang dari keluarga yang agak senang.
Dia yang pernah menjadi antara pelajar terbaik peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) peringkat kebangsaan 2006, bertukar menjadi selebriti sekelip mata kerana kecemerlangannya itu.
Malah wartawan yang berpusu-pusu untuk menemu bualnya terpaksa menunggu giliran untuk memasuki rumah yang disewa bapanya dengan harga RM90 sebulan kerana ia terlalu sempit dan agak uzur.
Rumah kecil itu menjadi gambaran kehidupan sukar mereka sekeluarga malah bilik kecil yang dilindungi almari di ruang tamu yang menjadi tempatnya untuk berehat manakala ruang tamu yang mampu memuatkan kira-kira empat orang itu menjadi bilik belajar tetapnya pada setiap hari.
Sunday, January 25, 2009
MLM dicipta oleh kapitalis

MLM atau Multi Level Marketing atau dalam bahasa melayunya pemasaran berperingkat adalah satu jenis perniagaan yang telah lama bertapak di Malaysia. Selain MLM terdapat perniagaan seperti direct selling, franchise, runcit, borong dan lain-lain lagi.
Tujuan utama MLM dicipta adalah untuk meng’optimum’kan keuntungan sesebuah syarikat itu dalam masa yang singkat sahaja. Ianya disebarkan melalui mulut ke mulut, email dsbnya. Tidak diketahui siapakah pengasas sistem perniagaan MLM ini, yang pasti ianya dimulakan oleh orang-orang barat yang bukan islam dalam meraih keuntungan dengan cepat tanpa mengira halal haramnya kerana mereka mementingkan materialistik.
Kini ramai orang-orang melayu/islam telah menceburinya tak kira tua dan muda terpengaruh dengan kejayaan singkat individu-individu yang dipertontonkan dengan pendapatan 6 angka, kereta mewah bahkan menjadi jutawan segera.
Menjadi kaya tidak salah bahkan islam menggalakkan umatnya menjadi kaya dan maju supaya umat islam bertambah kuat ekonominya. Tetapi banyak perkara perlu dipertimbangkan sebelum kita menceburi bidang perniagaan MLM ini.
Oleh kerana sistem ini dicipta di barat maka soal halal haram tidak diambil kira, yang penting syarikat berjaya mencatat keuntungan setinggi yang mungkin. Ahli-ahli telah digula-gulakan dengan habuan kejayaan yang melampau. Perlu diingat dalam perniagaan ini cuma 1% sahaja yang akan berjaya. Tapi yang pasti syarikat akan menjadi lebih kaya.
Yang menjadi teras kepada sistem ini adalah ‘KOMISEN’. Sudah pasti upline akan mendapat komisen dari jualan oleh downline-downline mungkin dari lapisan sampai ke-10 dan seterusnya dengan nama berbagai bonus kumpulan dan sebagainya.
Hasil titik peluh downline-downline tersebut telah diambil atau dimakan oleh upline-upline mengikut sistem yang telah disediakan mengikut pelan pemasaran syarikat MLM masing-masing. Sememangnya sistem pemasaran MLM adalah begitu, tak boleh lari lagi sebab ia dicipta sedemikian rupa.
Di dalam islam telah dijelaskan kita umat islam tidak boleh memakan hak orang lain, hasil penat lelah orang lain maka haramlah jadinya.
Firman Allah Surah al-baqarah ayat 188 :

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (188)
Subscribe to:
Posts (Atom)

