Sunday, February 9, 2014
Sepahtu ungguli MLM 2013
KUMPULAN Sepahtu memberi aksi spontan saat diumumkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2013.
--------------------------------------------------------------------------------
PERSEMBAHAN bersahaja kumpulan Sepahtu pada pertandingan akhir Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) di Stadium Malawati, Shah Alam kelmarin sudah dapat diduga.
Tepukan gemuruh serta sorakan daripada hampir 10,000 penonton usai persembahan Sepahtu seakan-akan memberi isyarat bahawa kumpulan tersebut bakal dinobatkan sebagai juara program realiti itu.
Kemenangan Sepahtu yang dianggotai Mohd. Nadzri Zainal Abidin (Jep), Shahmira Muhammad (Shuib) dan Rahim Mat Ali (Rahim R2) sebenarnya rentetan daripada undian terkumpul sebanyak 25 peratus sejak MLM 2013 bermula lebih 12 minggu lalu. Program akhir itu turut disertai kumpulan Shiro, Bocey, Jambu dan peserta solo, Nabil.
Persembahan mantap yang ditonjolkan secara konsisten pada segmen muzikal dan tema bebas itu ternyata memberi kelebihan kepada kumpulan Sepahtu untuk meraih dominasi undian SMS.
Bermodalkan gaya serta identiti tersendiri, mereka mencipta sejarah tersendiri apabila meraih markah tertinggi sebanyak 72 peratus sekali gus menewaskan empat finalis pada malam itu.
Strategi 70 peratus markah disumbangkan oleh panel juri tetap manakala bakinya menerusi undian SMS penonton di rumah banyak memberi kelebihan kepada Sepahtu.
Kesemua persembahan diadili oleh pengarah dan penerbit filem terkenal, Datuk Yusof Haslam; pelakon, Nora Danish; pelakon Indonesia, Luna Maya dan rapper Singapura, Sheikh Haikel.
Menurut Yusof, kemenangan yang berpihak kepada kumpulan Sepahtu merupakan hasil usaha keras mereka.
Tambahnya, setiap kumpulan mempunyai kekuatan tersendiri dan persembahan yang ditampilkan menepati kehendak penjurian.
"Saya dan juri-juri yang lain ada berbincang mengenai kumpulan Sepahtu pada MLM 2013 minggu lalu. Sekiranya Sepahtu tidak menunjukkan peningkatan pada pertandingan akhir MLM 2013, mereka berada di zon bahaya.
"Namun, saya lihat kumpulan Sepahtu berjuang habis-habisan. Malah, setiap peserta tidak dinafikan mempunyai kekuatan tapi ini semua rezeki Allah. Perjuangan untuk beraksi di pentas komedi bukan terhenti di sini," ujar Yusof.
Mengulas mengenai kemenangan Sepahtu, Jep memanjatkan kesyukuran kepada Allah atas kemenangan yang berpihak kepada kumpulannya.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana peminat tidak henti-henti menyokong kami. Terlalu besar pengorbanan mereka sehingga kami bergelar juara MLM 2013 pada musim kali ini.
BARISAN panel juri tetap yang terdiri daripada (dari kiri) Yusof Haslam, Luna Maya, Sheikh Haikel dan Nora Danish.
--------------------------------------------------------------------------------
"Kami sedikit kecewa pada minggu lalu apabila gagal menghiburkan peminat di Johor sewaktu melakukan persembahan di sana.
"Namun, menerusi kekecewaan itu kami bangkit dan mahu menebus kesilapan yang telah dilakukan. Mungkin kami leka, tetapi kami bersyukur peminat masih memberikan sokongan sehingga ada yang membuat kenduri doa selamat," ujarnya.
Nabil tercorot
Bercerita mengenai hadiah kemenangan, Jep berkata, ganjaran wang tunai sebanyak RM500,000 itu akan diagihkan sama rata antara mereka bertiga.
"Kedudukan Rahim bersama Sepahtu buat masa ini hanya untuk projek MLM 2013 dan untuk selanjutnya kami belum dapat tentukan.
"Dia akan kembali bergerak bersama kumpulan R2 kerana Rahim diundang buat sementara. Saya kira, perkara ini tidak jadi masalah kerana masing-masing memahami perkara tersebut," katanya.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Shiro yang dianggotai oleh Shahrol Azizie Azmi (Shahrol) dan Mohamad Hanaffi Razak (Ajak) yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM250,000 dan trofi sumbangan Astro.
Kemenangan tempat ketiga begitu mengejutkan apabila kumpulan Bocey yang dianggotai oleh Mohd. Nasir Hamzah (Acey), Syed Umar Makhtar Syed Mohd. Redzuan (Abam) dan Muhammad Fadzlie Mohd. Nizam (Fad) berjaya mengalahkan pelawak senior seperti Jambu dan Nabil.
Kumpulan Bocey berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM150,000 dan trofi sumbangan Astro manakala kumpulan Jambu yang dianggotai oleh Zamatul Amir (Tauke) dan Yusri B Edoo (Pak Yus) mendapat tempat keempat.
Mereka berjaya meraih hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi sumbangan Astro.
Nabil yang merupakan juara Raja Lawak musim kedua terpaksa berpuas hati dengan kedudukan tercorot namun dia tetap membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000.
Sementara itu, Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata, pihaknya sudah menyusun pelbagai program pada tahun ini untuk memastikan rancangan komedi terus dimainkan di televisyen.
"Malah, perancangan untuk meneruskan MLM sudah pun bermula. Jika tiada halangan MLM 2014 akan bermula pada bulan Oktober nanti," kata Nizam.
Tambahnya, kesemua 16 peserta MLM 2013 memberikan impak yang positif kepada penonton sepanjang 12 minggu program realiti itu disiarkan.
Astro Warna saluran 132 meraih peningkatan dari segi jumlah rating televisyen yang secara tidak langsung membuktikan kehebatan lawak yang disampaikan mengukuhkan lagi sokongan daripada peminat, katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0209&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_04.htm#ixzz2sp61SyHw
Hakcipta terpelihara
Wednesday, January 29, 2014
Selawat hilangkan kemunafikan
Oleh HASHIM AHMAD
RASULULLAH SAW ialah manusia utama yang dimuliakan Allah SWT. Budi pekerti baginda amat luhur dan terpuji. Ini amat sesuai dengan namanya Muhammad yang bererti insan terpuji.
Anas bin Malik pada suatu hari telah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Alangkah rindunya aku untuk berjumpa dengan saudara-saudaraku."
Seorang sahabat bertanya: "Bukankah kami ini saudara mu, ya Rasulullah?"
Rasulullah menjawab: "Benar, kalian adalah sahabat dan saudaraku. Tetapi apa yang aku maksudkan dengan saudara-saudaraku adalah kaum yang datang sesudahku dan beriman kepadaku, padahal mereka tidak pernah berjumpa denganku."
Maksud hadis di atas ialah Rasulullah SAW begitu rindu pada kita (umatnya) yang hidup jauh dari masanya. Rindunya merupakan satu penghargaan untuk kita kerana sampai saat ini kita masih beriman padanya walaupun kita tidak pernah sekalipun berjumpa secara langsung dengan baginda Rasulullah SAW.
Baginda juga sangat peduli pada umatnya. Pada detik-detik terakhir roh kekasih Allah SWT ini akan lepas daripada raga, lisannya berucap: "Ummati, ummati, ummati" (Umatku, umatku).
Baginda masih sempat berfikir akan keadaan umatnya selepas kewafatan Rasulullah SAW. Peristiwa itu adalah sebuah pemandangan di luar kebiasaan manusia umum, Malah amat mengharukan dalam sejarah hidup kita.
Ketika dalam keadaan sakaratul maut, di saat badan mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak, bibirnya sentiasa basah menyebut asma-Nya. Di saat itu, terucap sebuah permohonan yang amat memilukan hati: "Ya...Allah, dahsyatnya maut ini. Timpakan saja semua maut ini kepadaku, jangan pada umat-ku." Sungguh terpuji sekali akhlak Rasulullah SAW.
Hubungan kita
Cuba kita bermuhasabah dan bertanyakan diri, bagaimana hubungan kita dengan Rasulullah di saat ini? Sepatutnya, kita pun merasa rindu dan berterima kasih kepada baginda dengan memperbanyakkan berselawat dan selalu berusaha menjalankan sunnah-sunnah Rasulullah SAW.
Bayangkan keadaan kita saat ini tanpa Rasulullah hadir di dunia ini. Pasti kita akan hidup dalam kegelapan, tidak jelas arah tujuan hidup dan akhlak kita pun akan jauh daripada nilai-nilai yang mulia.
Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Manusia yang paling mengabaikan aku, adalah orang yang apabila disebut namaku di hadapannya, dia tidak berselawat kepadaku. Selawat kepadaku dan kepada keluargaku menghilangkan kemunafikan."
Sesungguhnya, banyak berselawat kepada Nabi SAW akan mendatangkan syafaat di akhir. Syafaat adalah pertolongan.
Syafaat Rasulullah SAW dapat membantu di kala amal baik kita kurang kerana kita tidak memenuhi syarat untuk masuk ke syurga. Kita akan beruntung kerana syafaat boleh menghindar kita daripada bakaran api neraka yang amat panas itu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20140128/ba_05/Selawat-hilangkan-kemunafikan#ixzz2rn7PJcIU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Friday, January 17, 2014
Sangat mengharukan, seorang hakim bernama Marzuki di Mahkamah Indonesia berasa sebak dengan penerangan pesalah seorang nenek tua yang mengaku salah mencuri ubi kayu.
Di ruang mahkamah pengadilan, seorang hakim duduk termenung menyemak pertuduhan kepada seorang nenek yang dituduh mencuri ubi kayu. Nenek itu merayu bahawa hidupnya miskin, anak lelakinya sakit, dan cucunya kelaparan. Namun pengurus ladang tuan punya ladang ubi tersebut tetap dengan tuntutannya supaya menjadi iktibar kepada orang lain.
Hakim menghela nafas dan berkata, “Maafkan saya, bu”, katanya sambil memandang nenek itu.
”Saya tidak dapat membuat pengecualian undang-undang, undang-undang tetap undang-undang, jadi anda harus dihukum. Saya mendenda anda Rp 1 juta (lebih kurang RM350) dan jika anda tidak mampu bayar maka anda harus masuk penjara 2.5 tahun, seperti tuntutan undang-undang”.
Nenek itu tertunduk lesu. Namun tiba-tiba hakim menbuka topi hakimnya, membuka dompetnya kemudian mengambil & memasukkan wang Rp 1 juta ke topinya serta berkata kepada hadirin yang berada di ruang mahkamah.
‘Saya atas nama pengadilan, juga menjatuhkan denda kepada setiap orang yang hadir di ruang mahkamah ini, sebesar Rp 50 ribu (lebih kurang RM17), kerana menetap di bandar ini, dan membiarkan seseorang kelaparan sehingga terpaksa mencuri untuk memberi makan cucunya.
“Saudara pendaftar, tolong kumpulkan denda dalam topi saya ini lalu berikan semuanya kepada yang tertuduh”
sebelum tukul diketuk nenek itu telah mendapatkan sumbangan wang sebanyak Rp 3.5 juta dan sebahagian telah dibayar kepada mahkamah untuk membayar dendanya, setelah itu dia pulang dengan wajah gembira dan terharu dengan membawa baki wang termasuk wang Rp 50 ribu yang dibayar oleh pengurus ladang yang mendakwanya.
Kisah ini sungguh menarik dan boleh di share untuk menjadi contoh kepada penegak undang-undang di Malaysia agar bekerja menggunakan hati nurani dan mencontohi hakim Marzuki yang berhati mulia ini.
Tuesday, February 12, 2013
Tragedi pilu masuk hutan
Oleh SHAHRULANOOR ISHAK dan M. RIZAL NOR
berita@kosmo.com.my
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat salah seorang mangsa yang terperangkap di dalam 4WD yang tergelincir ke dalam Sungai Pahang di Jerantut kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------
KUANTAN – Hasrat tiga rakan untuk pulang ke rumah masing-masing selepas dipercayai keluar berburu di hutan Matau Balak dekat Kota Gelanggi berkecai apabila kesemuanya ditemui lemas selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang mereka naiki tergelincir ke dalam sungai kelmarin.
Kejadian pukul 11.20 malam itu mengakibatkan pemandu 4WD jenis Jeep Cherokee itu, Hamzah Muhammad, 52 serta dua penumpang, Abd. Zahran Asran, 28, dan Roshaizad Abd. Rashid, 29, maut selepas gagal menyelamatkan diri.
Mayat mangsa pertama ditemui pada pukul 3.55 pagi, diikuti mayat kedua selang 20 minit kemudian dan mangsa ketiga pada pukul 4.25 pagi di sekitar 100 meter dari tempat kenderaan itu tergelincir ke dalam Sungai Pahang.
Difahamkan, kemalangan itu disedari oleh seorang Orang Asli yang tinggal berdekatan sebelum dia menghubungi polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jerantut, Deputi Superintendan Zakaria Kassim berkata, kejadian tersebut berlaku di kawasan laluan pembalakan yang berselut.
Katanya, ketiga-tiga mangsa dipercayai pergi berburu di hutan tersebut ketika operasi pembalakan dihentikan sementara sempena cuti perayaan Tahun Baru Cina.
“Ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan pulang selepas berburu di situ. Kenderaan mereka terjatuh ke dalam sungai semasa menyeberangi jambatan kerana hilang kawalan.
“Mayat mereka berjaya ditemui dan dikeluarkan dari hutan tebal itu pada pukul 5 pagi tadi (semalam). Polis tidak menemui senjata atau binatang buruan di dalam 4WD itu,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu di Maran, isteri Abd. Zahran, Badariah Daud, 31, mendakwa, suaminya masuk ke hutan itu untuk melakukan aktiviti lasak bersama dua rakannya dan bukan berburu.
“Mereka memulakan aktiviti itu sejak pukul 9 pagi Sabtu lalu. Ketika tiba di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka, suami menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) menyatakan mereka sudah sampai sebelum meneruskan perjalanan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Keramat di sini.
Badariah memberitahu, sebelum keluar, suaminya sempat mengejutkan dan mencium anak sulungnya, Amar, 4, dan memaklumkan dia ingin masuk ke hutan.
“Arwah bekerja di Maran Golf Hill Resort bersama Hamzah. Empat bulan lalu, kami kehilangan anak kedua kami, Adib, sembilan bulan, kerana demam panas,” katanya sedih.
Dalam pada itu, keluarga Hamzah dan Roshaizad enggan ditemu bual
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0213&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2KkcRJEvD
Hakcipta terpelihara
Saturday, September 15, 2012
Apa itu Rukun Iman?
Rukun Iman itu ialah,
1. Beriman kepada Allah.
Dengan iman kita membulatkan keyakinan diri serta hati semata-mata kerana Allah. Secara positif menuju tauhid yang murni dan secara negatif menafika segala bentuk pemujaan kepada selain dari Allah.
2. Beriman kepada malaikat.
Dengan iman kita mempercayai wujudnya makhluk ghaib bernama malaikat yang melaksanakan tugasnya menurut perintah Allah. Wajib kita mempercayai alam ghaib seperti yang diberitakan Allah dan menolak segala bentuk benda ghaib yang tidak diberitakan Allah.
3. Beriman kepada kitab.
Iaitu kita mempercayai adanya kitab suci yang Allah turunkan kepada umat manusia melalui utusan-Nya bagi memimpin mereka ke jalan yang selamat. Kitab suci ini di akhiri dengan al-Quran.
4. Beriman kepada nabi dan rasul.
Dengan beriman kepada nabi dan rasul kita meyakini adanya manusia pilihan yang diutuskan oleh Allah untuk memberi petunjuk yang di akhiri dengan Nabi Muhammad.
5. Beriman kepada hari kiamat.
Dengan iman kita meyakini di sebalik kehidupan di dunia ini masih ada kehidupan lain yang kekal abadi buat selama-lamanya iaitu suatu tempat penentuan manusia sama ada ke syurga atau neraka.
6. Beriman kepada qada' dan qadar.
Dengan beriman kepada qada' dan qadar, kita meyakini di samping usaha yang dilakukan hanya Allah yang bakal menentukan dan segalanya terletak di dalam kekuasaan-Nya.
DOA SUPAYA DAPAT BAYAR HUTANG
Doa supaya dapat membayar hutang
Maksudnya:
Ya Allah, cukupkanlah aku dengan segala perkara yang telah Engkau halalkan daripada segala perkara yang telah Engkau haramkan. Kayakanlah aku dengan kelebihan Engkau daripada meminta kepada orang lain.
Maksudnya:
Ya Allah, aku berlindung denganMu dari ditimpa kesusahan dan kedukaan, dari kelemahan dan kemalasan, dari kedekut dan perasaan takut dan dari desakan hutang dan paksaan orang.
Tuesday, November 22, 2011
TAHNIAH MALAYSIA-IBU SEGALA PINGAT 2011

JAKARTA - Tiada apa yang lebih sempurna daripada merangkul pingat emas Sukan SEA; ‘ibu’ kepada segala pingat sebagai penutup tirai temasya kali ke XXVI buat kontinjen Malaysia.
Setelah berjuang habis-habisan di Stadium Gelora Bung Karno untuk lebih dua jam, skuad Harimau Muda kebanggaan kita memakbulkan harapan setiap rakyat Malaysia yang menyaksikan kelibat mereka di kaca televisyen malam tadi.
Tidak mengapa kita ketinggalan pada awal permainan.
Wira-wira kita tidak mengalah, sebaliknya mereka bangkit dengan segera untuk menyamakan kedudukan dan seterusnya mengawal permainan, sekali gus membuatkan kira-kira 100,000 penyokong fanatik tuan rumah terdiam.
Bermula dari saat itu, perlawanan berlangsung agak seimbang menyaksikan kedua-dua pasukan buntu mencari gol pada waktu sebenar permainan, malah 30 minit tambahan pun tidak berkesudahan.
Setiap kali penjaga gol sensasi kita, Khairul Fahmi Che Mat diperlukan, dia tidak pernah mengecewakan dan semalam dia membuktikan keupayaannya sekali lagi, komitmen yang sering kali ditunjukkannya apabila dengan tenang menyelamatkan sepakan penalti Ferdinan Sinaga.
Dan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar; salah seorang anggota skuad yang menjuarai temasya Vientianne dua tahun lalu melaksanakan tugasnya untuk mempertahankan pingat emas buat kali pertama sejak 1979 yang mana ketika itu turut dilakar di Jakarta.
Tangisan para penyokong Laskar Garuda adalah difahami. Bukan saja tewas di bumi sendiri, malah sudah dua dekad tidak mengecapi kejayaan sejak mereka menang di Manila 1991.
Indonesia mungkin telah meraih 170 pingat emas (setakat pukul 12 tengah malam semalam dan jumlah itu dijangka terus bertambah pada hari terakhir hari ini), namun terlepas pingat emas bola sepak sudah tentu sesuatu yang mendukacitakan.
Andai mampu merangkul 200 emas sekali pun, luka mereka tidak akan terubat
Bagi kontinjen negara pula, sasaran baru 60 pingat emas yang diletakkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dua hari lalu sepatutnya dalam jangkauan jika petinju kita, Muhamad Farkhan Mohd. Harun mampu meraih pingat emas ke-59 kita.
Malangnya, dia ditumbangkan secara kontroversi oleh peninju tuan rumah, Alex Tatontos di Palembang.
Terdahulu Malaysia, dipimpin Fatehah Mustapa, membuktikan kejaguhannya dalam arena berbasikal trek yang tiada tolok bandingnya dengan menambah empat pingat emas di Velodrom Ramawangun. Begitu juga dengan gadis- gadis kolam renang kita yang menyapu bersih kesemua lima emas dipertandingkan dalam sukan renang berirama di Pusat Akuatik Kompleks Jakabaring.
Kontinjen negara dijangka tidak akan menambah pungutan pingat emas untuk menggenapkan angka 60 kerana hanya tinggal sukan paragliding yang bukan merupakan sukan harapan pada hari terakhir temasya .
Ia sudah lebih daripada memadai, syabas diucapkan!
Subscribe to:
Posts (Atom)

