Thursday, August 6, 2009

Radio Ikim.fm frekuensi 91.5

Ikim.fm pikat sejuta pendengar

TANPA banyak publisiti, radio Ikim.fm yang bersiaran pada frekuensi 91.5 di Lembah Kelang muncul antara stesen diminati ramai apabila disenaraikan antara 10 rangkaian yang mendapat rating tinggi di kalangan radio berbahasa Melayu.
Berdasarkan kajian terkini dikeluarkan Nielsen, jumlah pendengar radio Ikim.fm di seluruh semenanjung kini hampir 800,000 orang.

Bagaimananpun jumlah yang dikumpulkan itu tidak termasuk pendengar di Sabah, Sarawak, Singapura, Narathiwat (Thailand), Medan dan Batam di Indonesia.

Pengarahnya, Ahmad Jais Alias berkata, jumlah pendengar Ikim FM mencecah lebih sejuta orang jika termasuk jumlah keseluruhan audien yang dapat mengikut siaran radio berkenaan.

Katanya, sebagai radio berteraskan pendidikan rohani dan jasmani, pihaknya memperkenalkan konsep 3M, mendidik, memberi maklumat dan menghibur.

"Kami berusaha menyajikan yang terbaik buat pendengar di mana di samping berhibur dengan lagu yang menyentuh jiwa, kami juga menghidangkan pelbagai maklumat dan bimbingan agama.

"Keperluan rohani dan jasmani perlu diseimbangkan untuk melahirkan masyarakat yang aman, bertanggungjawab dan patuh pada suruhan Allah s.w.t.

"Radio Ikim yang bersiaran 24 jam sehari menyediakan banyak rancangan menarik dan pengisian istimewa itu bersesuaian dengan usaha Ikim.fm untuk menambahkan lagi daya tarikan masyarakat mendengar radio ini.

"Ikim.fm juga menyusun pelbagai langkah untuk merangsangkan lagi penjenamaannya dengan meluaskan promosinya menerusi media cetak supaya kewujudannya selepas lapan tahun dapat diperluaskan lagi.

"Kami berharap mampu lebih berdaya saing dan membina gambarannya tersendiri sebagai satu-satunya stesen radio berlandaskan Islam," katanya.
Ikim.fm pikat sejuta pendengar
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my

No comments: