Friday, November 6, 2009

CATATAN KEMBARA hAJI


Urusan menunaikan rukun islam kelima kini semakin tersusun apabila ia diuruskan melalui Tabung Haji.

1) NASER KHOSRAW, IRAN (IBADAT HAJI 1046M)

Beliau merupakan penyair dan ahli falsafah Parsi yang juga ahli pengembaraan terkenal berasal dari daerah Qubadiyan, Iran. Beliau terkenal dengan catatan pengembaraan yang bertajuk Safarnama.

Beliau meninggalkan kehidupan bangsawannya untuk mengembara ke banyak negara dan wilayah Islam dan berakhir di Kaherah, Mesir.

Dalam perjalanan itu beliau singgah ke Mekah menunaikan haji selepas menempuh satu perjalanan berkaravan dari Nishapur, Tabriz, Aleppo, Baitul Maqdis dan seterusnya ke Mekah.

Catatannya merupakan satu catatan yang penting bagi menunjukkan perlaksanaan ibadah itu tidak pernah berubah sejak zaman Nabi Muhammad.

Antara catatan beliau;

"Bagi mereka yang datang dari tempat yang jauh untuk mengerjakan umrah dan haji terdapat beberapa batu petanda jarak dan masjid yang didirikan pada jarak separuh parasang (unit ukuran lama Parsi yang bersamaan dengan 3.5 batu atau 5.6 km) daripada Mekah, tempat di mana mereka mula memakai ihram. Setelah siap, mereka melaungkan Labayk Allahumma, labayk sambil menghampiri Mekah…

2) MUHAMAD ASAD, GALICIA SEPANYOL (IBADAT HAJI 1927M)

SEBELUM memeluk Islam beliau dikenali sebagai Leopold Weiss. Beliau bertugas sebagai wartawan yang terkenal di Eropah sehinggalah pada tahun 1926 mengambil keputusan untuk pulang ke Jerman dan berkahwin.

Muhamad Asad berkahwin dengan seorang pelukis Jerman dan memeluk Islam pada tahun yang sama. Setelah Elsa, isterinya sendiri memeluk Islam tidak lama selepas Muhamad Asad memeluk Islam, mereka mengambil keputusan mengerjakan haji.

Sebelum itu beliau beroleh pelbagai pengalaman mengenai Islam ketika bertugas sebagai wartawan luar negara bagi akhbar Frankfurter Zeitung yang telah membawanya ke Iran terutamanya Isfahan, Kabul dan Damsyik.

Namun Mekah merupakan pengalaman yang baru baginya dan semua itu terkandung dalam bukunya yang terkenal: Jalan ke Makkah.

Antara catatan beliau: "Sekali lagi, manusia daripada pelbagai bangsa, pakaian dan pertuturan berkumpul. Jeritan keriuhan orang ramai dari segenap penjuru menyebabkan kamu berasa seolah-olah berada di tengah gelombang yang terputus-putus di mana kamu hanya boleh menangkap beberapa perkataan sahaja tetapi tidak keseluruhan cerita.

"Semuanya dialunkan dalam keriuhan berbagai-bagai bahasa, pergerakan yang pantas dan keterujaan - tiba-tiba kami tersedar kami telah berada di hadapan salah pintu gerbang Masjid al Haram…"

3) LADY EVELYN COBBOLD, BRITAIN (IBADAT HAJI 1933M)

Lady Evelyn Zainab Murray Cobbold (lahir 1867M) dikatakan wanita Eropah pertama yang merekodkan pengalamannya mengerjakan haji. Beliau adalah anak sulung Earl Dunmore yang dipercayai memeluk Islam semenjak kecil.

Pemergiannya ke Mekah mendapat keizinan Raja Abdul Aziz Ibnu Saud dan beliau juga menjadi tetamu khas kepada Harry St. John Philby, seorang penjelajah British yang memeluk Islam dan pertama kali mengerjakan haji pada tahun 1931.

Ketika usia 66 tahun, Zainab memulakan perjalanannya secara bersendirian ke Mekah dengan menaiki kapal laut yang bertolak dari Kaherah ke Pelabuhan Jeddah.

Apabila tiba di Jeddah, Zainab dijaga oleh Harry St. John yang mempunyai hak istimewa sebagai penasihat British kepada Sultan Abdul Aziz Ibn Saud. Oleh kerana Zainab belum mendapat kebenaran memasuki Kota Suci Mekah, beliau mengisi masa lapangnya dengan bersiar-siar di kawasan sekitar kota itu dan merekodkan segala pengalamannya.

Antara yang menarik perhatian ialah pergerakan jemaah haji yang menuju ke Mekah. Ketika di Jeddah pada tanggal 28 Februari 1933, beliau menulis;

"Kami melepasi jemaah yang dalam perjalanan mereka ke Kota Suci, ada yang menaiki kenderaan berenjin, ada yang terhoyong-hayang di atas unta dan mereka yang miskin hanya berjalan kaki. Golongan lelaki telah siap memakai ihram tanpa penutup kepala.

"Golongan wanita yang menuju ke Madinah berpakaian hitam manakala yang menuju ke Mekah pula berpakaian haji berwarna putih. Sesetengah jemaah yang miskin dari negara yang jauh mengambil masa yang lama untuk sampai…"

Pada 12 Mac 1933, Raja Ibnu Saud membenarkan Zainab memasuki Mekah.

4) LUDOVICO DI VARTHEMA, BOLOGNA ITALI (MENUJU KE MEKAH 1503M)

Varthema yang berasal dari Bologna Itali dipercayai telah mengembara ke serata dunia pada sekitar abad ke-16. Selama tujuh tahun beliau mengembara ke Timur Tengah, India, Burma, Tanah Melayu, Siam dan Indonesia yang kesemua catatan pengalamannya itu ditulis dalam bukunya, Itinerario.

Catatannya mengenai Mekah dan ibadat haji adalah antara yang terawal dilakukan di kalangan bangsa Eropah.

Walaupun status dirinya sebagai Muslim masih menjadi persoalan, kelicikannya membolehkan beliau menyertai angkatan tentera Mamluk yang bertanggungjawab mengiringi karavan-karavan haji ke Tanah Suci Mekah pada tahun 1503 M.

Dalam perjalanan ke Mekah dari Damsyik, beliau merekodkan halangan yang terpaksa ditempuhi oleh jemaah haji. Halangan paling besar yang ditakuti adalah ancaman penyamun yang berterusan.

Varthema menceritakan bagaimana karavannya berjaya mengatasi penyamun nomad selepas bertelingkah mengenai sumber air.

"Pada 11 April, karavan ini bertolak daripada Mezeribe (berkemungkinan Jubb Al Mazarib yang terletak di Syria pada hari ini), di sini terdapat 35,000 ekor unta dengan lebih kurang 40,000 jemaah dan kami askar-askar Mamluk seramai 60 orang bertugas mengawal keselamatan para jemaah.

"Satu pertiga daripada jumlah askar Mamluk ini mendahului karavan seperti yang biasa dilakukan, satu pertiga lagi berada di bahagian tengah dan satu pertiga yang lainnya pula berbaris di belakang sekali…"

5) DULI YANG MULIA SIKANDAR, SIKANDAR BEGUM BHOPAL, INDIA (ibadah Haji 1824M)

Bhopal, adalah sebuah kerajaan Islam yang wujud sebelum kemerdekaan India. Ia diperintah oleh empat pemerintah wanita iaitu dari tahun 1819 sehingga 1926.

Pengalaman perjalanan Nawab Sikandar Begum menunaikan haji ke Mekah adalah pada 1824 M bersama ibunya, Qudsia Begum, bapa saudara dan ratusan pengiringnya yang tiba di Pelabuhan Jeddah pada Januari 1864 dan mereka terus mengupah karavan unta untuk perjalanan ke Mekah.

Antara catatan baginda: "Sewaktu beta tiba di Kota Mekah, kedengaran azan berkumandang dari beberapa masjid yang menandakan masuknya waktu solat Isyak. Beta masuk ke kawasan Haram melalui pintu As Salam dan setelah sampai di Makam Ibrahim, beta berdiri dan mengerjakan solat seperti yang telah ditetapkan. Selepas itu beta mengerjakan tawaf Selamat Datang dan mengerjakan saie di Safa dan Marwa…"

Turut diceritakan bagaimana Sikandar Begum terpaksa meminta bantuan Sharif Makkah bagi mendapatkan empat pengawal untuk mengawal orang ramai mengerumuni baginda dan selesa untuk baginda mengerjakan haji. Selain itu, sebagai langkah berjaga-jaga Begum turut memakai purdah bagi mengelakkan dirinya daripada dikenali.

6) MALCOM X, AMERIKA SYARIKAT (IBADAH HAJI 1964 M)

Malcom X atau nama Islamnya El-Hajj Malik El Shabazz adalah antara individu keturunan Afrika Amerika yang paling berpengaruh dalam sejarah moden dan pergerakannya dalam Nation Of Islam sebelum keluar daripada pertubuhan itu pada tahun 1964.

Pada tahun itu juga beliau menunaikan haji. Di sana beliau menghadapi pengalaman yang agak kurang menyenangkan. Sejurus tiba di Lapangan Terbang Jeddah disebabkan beliau tidak boleh berbahasa Arab ditambah dengan pasport Amerika Syarikat yang dipegangnya, beliau terkandas hampir 20 jam di lapangan terbang itu walaupun telah lengkap berpakaian ihram.

Pihak berkuasa Arab Saudi menguatkuasakan peraturan yang cukup ketat bagi memastikan bukan Islam tidak terlepas masuk ke Mekah. Akhirnya Hajj Committee Court mengesahkan beliau sebagai seorang Islam dari Amerika.

Malcom kemudiannya menerima undangan khas dari Putera Faisal.

No comments: