Wednesday, November 11, 2009

'Seksanya' mahu mengucup Hajarul Aswad


'Seksanya' mahu mengucup Hajarul Aswad

Penulis (empat dari kiri) bersama pasukan media Tabung Haji selepas selesai mengerjakan umrah di Mekah, baru-baru ini.

HAMPIR sejuta jemaah haji dari seluruh dunia kini berada di tanah suci Mekah sementara menunggu hari wukuf yang dijangka jatuh pada 26 November ini.

Walaupun jemaah yang tiba belum sampai separuh daripada jumlah keseluruhan yang dijangka mengerjakan haji tahun ini iaitu 2.5 juta orang tetapi kehadiran mereka sudah memadai untuk menyebabkan keadaan sesak di sekitar Masjidil Haram apalagi di sekitar Kaabah dan laluan sa'i.

Semasa saya mula menjejakkan kaki di kota suci ini pada 16 Oktober lalu selepas melalui penerbangan kira-kira lapan jam dari Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), keadaan di sekitar Masjidil Haram dan Kaabah masih belum ramai jemaah dari luar. Sebahagian besarnya warga tempatan yang melakukan ibadat umrah.

Dan ketika itu juga saya dan rakan-rakan wartawan tidak menghadapi banyak halangan dari segi pergerakan termasuk sewaktu melakukan tawaf keliling Kaabah, bersa'i sehingga selesai bertahallul. Hanya ketika itu peluang yang ada tidak digunakan sepenuhnya kerana terlupa untuk mengucup Hajarul Aswad yang terletak di satu penjuru Kaabah dan berdekatan dengan Makam Nabi Ibrahim a.s.

Setelah dua hari di Mekah, saya bertolak ke Madinah dan menginap di kota suci itu selama lapan hari sebelum balik semula untuk bertugas sambil beribadat di Mekah. Dalam perjalanan dari Madinah ke Mekah yang jaraknya kira-kira 468 kilometer, saya sempatlah membaca buku mengenai Mekah yang dibeli di Madinah termasuk kisah di sebalik Hajarul Aswad dan kenapa para jemaah haji atau umrah sanggup berebut-rebut mahu mengucupnya.

Dengan azam membara, saya dan rakan-rakan dari pasukan media Tabung Haji memasang tekad untuk mengucup batu tersebut. Tapi sayang, keadaan di sekitar Kaabah sudah jauh berbeza. Jumlah jemaah haji sudah terlalu ramai sehingga mencecah puluhan ribu terutama dari India, Pakistan, Bangladesh, Indonesia dan Thailand selain warga Arab.

Pada cubaan pertama untuk mengucup Hajarul Aswad, saya terpaksa mengalah setelah melihat aksi kasar ratusan jemaah yang saling berasak-asak dan tarik-menarik dalam usaha mereka itu. Dalam tempoh seminggu, tiga kali cubaan saya mengucup Hajarul Aswad tetapi semuanya tidak berhasil kerana berusaha mengelak dari menyakiti jemaah lain hanya mahu mengucup Hajarul Aswad di depan Kaabah dan di dalam kawasan Masjidil Haram pula. Jemaah dari sesetengah negara nampaknya tidak peduli semua itu. Mereka kelihatan amat agresif.

Tipis

Hari-hari berikutnya, jumlah jemaah haji meningkat kepada ratusan ribu. Umat Islam dari negara-negara Afrika dan Turki mula mendatangi Mekah. Melihat perebutan mencium Hajarul Aswad semakin sengit, peluang saya terlalu tipis dan mustahil boleh berbuat demikian apalagi bila jumlah jemaah haji meningkat lebih 2.5 juta.

Namun apabila saya memikirkan kedatangan saya di sini selain untuk menunaikan Rukun Islam kelima, saya juga adalah wartawan yang tugasnya untuk melapor, saya memberanikan diri agar pengalaman dilalui dapat dikongsi bersama dengan rakyat Malaysia. Bagaimanapun saya tetap berhati-hati dalam menghadapi risiko walaupun masih trauma apabila mengingatkan detik-detik cemas nyawa hampir melayang akibat tersalah perkiraan ketika memberanikan diri memasuki sempadan Afghanistan ketika tentera sekutu diketuai Amerika Syarikat menyerang negara itu pada tahun 2001 dulu.

Berbalik kepada Hajarul Aswad, benar kata orang, doa di tanah suci cepat dimakbulkan Tuhan. Jika empat percubaan sebelum ini saya tidak berdoa, pada percubaan kali kelima, saya memohon pertolongan daripada Allah agar dipermudahkan usaha mengucup Hajarul Aswad tanpa menyakiti sesiapa selepas solat sunat hajat dua rakaat.

Sambil membaca zikir, saya memulakan langkah dengan beratur mengikut barisan seperti diarahkan oleh polis. Pada minit pertama, barisan berjalan agak lancar tetapi kemudiannya berlaku tolak-menolak dan asakkan dari pelbagai penjuru sehingga polis pun sukar untuk mengawal.

Jika sebelum ini saya terpaksa 'bertarung hebat' dengan jemaah India dan Pakistan, kali ini cabarannya lebih sengit dan ganas berbanding empat percubaan awal saya dulu kerana kali ini melibatkan jemaah dari Afrika.

Dalam pertarungan sengit itu, ada jemaah mengasak kuat sehingga muka saya tepat mencium ketiak Pak Arab yang memakai pakaian ihram. Selepas itu tubuh saya yang tidak berapa berat itu dan Pak Arab yang berada di hadapan saya tertolak rapat ke kain dinding Kaabah sehingga saya dalam keadaan terlalulah sukar untuk bernafas.

Seorang lelaki India kemudian bertempik kuat, ''Sabar, sabar...' berulang-ulang kali setelah melihat keadaan makin tidak terkawal. Kali ini saya memperkuatkan suara dengan berdoa agar Tuhan memudahkan usaha saya kali ini.

Doa saya kali ini memang dimakbulkan. Tidak semena-mena laluan saya menghampiri Hajarul Aswad semakin mudah apabila orang di belakang menolak, manakala orang di hadapan seperti memberi ruang. Akhirnya selepas berhempas pulas selama kira-kira 15 minit, saya akhirnya dapat juga mencium Hajarul Aswad.

Yang peliknya, selepas saya mengucup batu hitam itu secepat yang mungkin dan mahu beredar bagi memberi peluang kepada jemaah lain, ada pula tangan memegang bahagian belakang kepala saya dan menekannya dengan kuat seperti memaksa-maksa saya supaya mengucup lagi Hajarul Aswad.

Bagaimanapun saya tidak berkesempatan berdoa ketika mengucup Hajarul Aswad dan sekadar mengucapkan 'Alhamdulillah'. Perasaan ketika itu sukar digambarkan dengan kata-kata kerana terlalu gembira dan bersyukur. Bersyukur kerana dalam cubaan kelima itu, saya tidak menyakiti mana-mana jemaah seperti doa saya kepada Tuhan.

Merasai pengalaman itu, saya mula memahami kenapa ramai jemaah dari sesetengah negara sanggup berebut-rebut mahu mengucup Hajarul Aswad dan pada masa yang sama tidak ramai pula jemaah dari negara-negara lain termasuk Malaysia dan Indonesia mahu mengambil risiko berbuat demikian.

Ghairah

Mungkin salah satu sebab kenapa para jemaah terlalu ghairah berebut-rebut mahu mengucup Hajarul Aswad kerana kepuasan tidak terkata jika berhasil berbuat demikian. Selain itu, Hajarul Aswad dikatakan diturunkan dari syurga.

Pegawai agama Bahagian Bimbingan Tabung Haji di Mekah, Drs. Sapawi Che Mat ketika mengulas tindakan mengucup Hajarul Aswad secara keterlaluan berkata, kedatangan seseorang jemaah haji adalah untuk mendekatkan diri dengan Allah dan memohon agar segala dosa diampunkan.

Menurut beliau, apa gunanya dapat mengucup Hajarul Aswad jika dalam usaha mereka itu telah menyakiti pihak lain.

''Jika mereka benar-benar percaya Hajarul Aswad adalah batu dari syurga, bagaimana pula kita mahu memasuki syurga jika segala perbuatan kita di depan Kaabah telah menyakiti jemaah lain," tegasnya.

Nabi Muhammad SAW bersabda, Hajarul Aswad diturunkan dari syurga, warnanya lebih putih dari susu dan dosa-dosa anak-anak cucu Adamlah yang menjadikannya hitam.

Semasa Nabi Muhammad menjadi orang tengah untuk memindahkan Hajarul Aswad ke kedudukannya sekarang, baginda telah mencium batu itu seperti dilakukan oleh nabi-nabi sebelumnya - sehingga Hajarul Aswad dikatakan menjadi tempat bertemunya bibir para nabi dan orang-orang soleh sepanjang sejarah.

Di samping itu, Hajarul Aswad menjadi tempat permulaan dan berakhirnya tawaf keliling Kaabah semasa mengerjakan haji atau umrah, sekaligus tempat mustajab untuk doa dimakbulkan.

Keistimewaan lain batu syurga itu adalah pada hari Kiamat kelak, Hajarul Aswad akan memberi kesaksian bagi orang-orang yang menyalaminya (memberi salam atau mengucup) dengan kebenaran.

Seperti diriwayatkan oleh Tirmidzi bahawa Nabi Muhammad bersabda, Demi Allah, Dia akan mengutusnya pada hari Kiamat kelak, dengan dua matanya ia akan melihat dan dengan lidahnya ia memberi kesaksian atas siapa yang menyalaminya dengan kebenaran.

Ibnu Abbas mengingatkan bahawa bertakbir dan tidak menyakiti saudara muslim lain adalah lebih baik daripada berusaha secara keterlaluan dalam mencium atau mengucup Hajarul Aswad.

Selain dari Hajarul Aswad, bahagian lain di Kaabah yang menjadi sasaran para jemaah haji adalah Multazam yang terletak antara Hajarul Aswad dengan pintu Kaabah.

Multazam ialah tempat dikabulkannya doa dan di kawasan sempit itu disunnahkan untuk berdoa. Tidak hairanlah Multazam adalah antara kawasan paling sukar untuk dimasuki kerana terlalu ramainya orang menunggu giliran untuk berdoa.

Itulah sedikit sebanyak kisah mengenai tanah suci Mekah yang sejak dulu hingga sekarang terus didatangi oleh jutaan umat Islam dari seluruh dunia.

- MINGGUAN

No comments: